Bahawasanya Allah telah mengharamkan ke atas kamu menderhaka kepada ibu, membunuh anak perempuan hidup-hidup, menahan dan meminta-minta; dan Allah benci kepada kamu yang sering membicarakan perkara yang tidak berfaedah, banyak bertanya, dan membuang harta – Riwayat Bukhari
Huraian Hadis
- 'Derhaka kepada ibu' bermaksud juga menderhaka kepada bapa, iaitu derhaka kepada perkara yang bukan maksiat. Sesungguhnya termasuk di dalam pengertian derhaka adalah:
- Tidak menunaikan hak mereka sebagai ibu bapa
- Menyakiti hati mereka sama ada dengan perbuatan atau perkataan, sedikit mahu pun banyak
- Al-Quran telah meletakkan kedudukan kedua ibu bapa selepas Allah SWT, sebagaimana firman-Nya:
Tuhanmu telah mewajibkan bahawa janganlah kamu menyembah selain dari Allah, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa – Al Isra' 23
Dan sambungan ayat tersebut adalah:
Janganlah engkau katakan kepada kedua mereka dengan "Ah!" dan mengherdik; berkatalah engkau kepada kedua-duanya dengan kata-kata yang mulia, iaitu kata-kata yang menyenangkan hati mereka
Apabila kedua ibu bapa menyuruh berbuat sesuatu yang yang bertentangan dengan syarak, maka tidaklah harus ditaati, bahkan memadailah melayannya secara patut dan tidak sampai kepada kemurkaan Allah.
- 'Membunuh anak perempuan' pula bermaksud perbuatan ini adalah diharamkan, iaitu perbuatan yang berleluasa di zaman jahiliah dahulu berikutan perasaan takut, malu, dan lapar. Namun demikian, di zaman moden ini pun unsur ini masih wujud, tetapi di dalam bentuk yang didokong oleh pihak-pihak tertentu, di atas nama perancang keluarga, dan sebagainya. Perbuatan ini tetap merupakan satu usaha penghapusan zuriat, yang tidak jauh bezanya dengan kempen penghapusan etnik oleh kaum tertentu yang lain.
- 'Menahan dan meminta-minta' bererti menahan daripada hak-hak yang wajib, dan tidak mengeluarkan hak orang yang patut mendapatkannya. Lebih bahaya lagi jika seseorang itu memperoleh hartanya melalui jalan yang haram, semata-mata kerana didorong oleh perasaan tamak haloba, dan terlalu mementingkan diri sendiri. Menurut hadis Rasulullah SAW:
Sesiapa yang mendapatkan harta dunia daripada jalan-jalan yang tidak dibenarkan, maka pada hari kiamat nanti rupa mukanya tidak sedikit pun berdaging; buruk, seburuk-buruknya
- Suka membicarakan perkara-perkara yang tidak berfaedah, titik-bengik, dan sebagainya juga adalah dilarang. Kata-kata yang mendatangkan dosa, seperti mengumpat dan mengata-ngata orang lain, boleh menyebabkan permusuhan dan perkelahian, malah merosakkan keharmonian sesebuah masyarakat yang asalnya tenteram dan aman.
- Sikap seperti banyak soal dan bertanya, suka mengintip hal peribadi orang lain, meminta-minta harta orang lain, dan banyak berbahas di dalam perkara yang tidak memberi faedah, boleh membawa kepada perangkap syaitan yang akhirnya akan membawa kepada kerosakan diri sendiri dan masyarakat.
- 'Membuang harta' pula bermaksud membelanjakan harta di tempat-tempat yang tidak diharuskan syarak, termasuklah seperti membazir dan berbelanja dengan melampau kepada perkara-perkara yang diharuskan, yang boleh menyampaikan kepada yang haram dan seterusnya menyebabkan fakir dan miskin, dan perasaan menyesal. Perbuatan yang dimaksudkan termasuklah seperti berbelanja dengan melampau semasa majlis keramaian, perkahwinan, sambutan hari raya, dan untuk perhiasan yang melebihi daripada biasa. Membelanjakan harta hendaklah dengan cara yang sesuai, wajar dengan keadaan dan suasana, menurut lunas-lunas yang dibenarkan, dan menuju ke arah kebajikan.
Semua perkara yang dipesan oleh Rasulullah SAW di dalam bentuk larangan ini adalah bertujuan untuk membina sahsiah dan peribadi seorang mukmin, yang bertaqwa dan layak untuk menjadi khalifah di atas muka bumi ini. Sesungguhnya sifat yang terbina dari hadis ini adalah sifat-sifat yang murni, yang tentunya akan melahirkan masyarakat yang harmoni.
Wallahu'alam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan